Jen Prayuth Chan-ocha

BANGKOK – THAILAND. Perdana Menteri Thai, Jeneral Prayut Chan-o-cha menggesa pihak berkuasa supaya mempertingkatkan kawalan keselamatan di kawasan awam dan tumpuan pelancong susulan beberapa siri serangan bom serta pembakaran khianat sejak malam tadi, termasuk di kawasan tumpuan pelancong di Phuket, Hua Hin dan Krabi.

Menurut jurucakap kerajaan Mej Jeneral Sansern Kaewkamnerd, perdana menteri mengeluarkan arahan kecemasan kepada pihak berkuasa yang berkaitan bagi mengelak insiden itu daripada berulang.

“Masih terlalu awal untuk mengenal pasti suspek yang menjadi dalangnya, tetapi perdana menteri memberi jaminan untuk menghadapkan ke muka pengadilan pihak yang bertanggungjawab terhadap serangan maut ini,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Arahan Prayut kepada pihak berkuasa itu dibuat susulan dua lagi insiden letupan bom pagi ini di Hua Hin, bandar peranginan pinggir pantai, mengakibatkan seorang maut manakala tiga orang cedera, kesemuanya rakyat Thai.

Timbalan Ketua Balai Polis Hua Hin, Leftenan Kolonel Samer Yusamran berkata, dua letupan itu berlaku pada 9.05 pagi (waktu tempatan) hari ini, kira-kira 200 meter dari lokasi letupan bom malam tadi, yang mengakibatkan seorang wanita terbunuh manakala 20 orang lagi cedera. – Bernama