NARATHIWAT: Tujuh anggota keselamatan dan dua orang awam cedera dalam kejadian letupan bom berasingan di Narathiwat dan Pattani pada Selasa. Kejadian pertama berlaku di Kampung Air Keroh, Chanet di Narathiwat pada 3.30 petang (waktu tempatan) menyebabkan enam anggota keselamatan dan dua awam cedera. “Kejadian berlaku ketika sukarelawan keselamatan dari pejabat daerah Chanet itu mengiringi sekumpulan guru di daerah terbabit,” kata Ketua Bahagian Siasatan Polis Chanet Lt Apichart Suni. Katanya, letupan itu berpunca daripada bom buatan sendiri seberat 20kg di dalam sebuah tong gas dan diaktifkan menerusi frekuensi radio. Semua mangsa, kata Apichart, hanya cedera ringan dan dikejarkan ke Hospital Daerah Chanet untuk rawatan. Dalam kejadian kedua di Saiburi, Pattani pada 5.30 petang pula, seorang anggota renjer cedera di dada apabila sebutir bom seberat 10kg meletup ketika dia sedang meronda, kata Pemangku Ketua Polis Wilayah Pattani Kol Piyawat Chalermsri. – BERNAMA

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/223538