Lima polis Thai cedera akibat serangan bom

NARATHIWAT 6 Mei – Lima anggota polis sempadan cedera dalam satu serangan bom di Kampung Tok Jamu, Mukim Nanak, berhampiran Sungai Golok di sempadan Malaysia-Thailand dekat sini, semalam.

Ketua Polis Tak Bai, Kol. Wacharapol Na Bakorn berkata, bom seberat 20 kilogram buatan sendiri itu dipercayai diletupkan beberapa individu yang bersembunyi di seberang kawasan Sungai Golok di Malaysia.

“Wayar untuk meletupkan bom itu disyaki ditarik dari arah Sungai Golok,” kata beliau yang memberitahu, bom berkenaan mungkin diletakkan dalam tong sebelum diletupkan.

Tambah Wacharapol, kesemua anggota polis sempadan yang baru pulang daripada melakukan rondaan dengan menaiki trak, kini dihantar ke hospital berhampiran untuk rawatan lanjut.

Dalam perkembangan ber­asing­an, polis Thailand melancarkan gerakan memburu sekumpulan penyeludup manusia yang meninggalkan 35 pendatang asing warga Myanmar terbiar di selatan negara ini, semalam.

Komander polis wilayah, Wancha Akepornpich berkata, ke­semua mangsa yang terdiri daripada 28 lelaki dan tujuh wanita itu dijumpai di wilayah Nakhon Si Thammarat tanpa pasport atau sebarang dokumen perjalanan yang sah.

Akepornpich berkata, mangsa-mangsa itu sebelum ini dijanjikan peluang pekerjaan di ladang kelapa sawit dan getah di Malaysia.

“Kumpulan penyeludup ter­babit dipercayai meninggalkan mangsa di situ dengan mengadakan alasan untuk mendapatkan makanan,” kata Akepornpich.

Akepornpich bagaimanapun berkata, kesemua mangsa bukan berasal daripada etnik Rohingya yang sering menjadi mangsa penindasan oleh kerajaan Myanmar.

Sebahagian daripada mang­sa memberitahu polis bahawa mereka telah dibawa menuju ke barat Thailand sebelum meneruskan perjalanan ke wilayah selatan dengan menaiki trak.

Laluan itu menjadi pilihan utama ketika ini selepas pihak berkuasa Thailand mengetatkan kawalan keselamatan di kawasan perairan di Teluk Bengal. – BERNAMA/AFP

Related Posts

Bahasa Melayu

OIC anjur dialog antara agama di Bangkok

Bahasa Melayu

keadaan di Patani kembali bergolak

Bahasa Melayu

Dua suspek militan mati ditembak di Pattani

Bahasa Melayu

RM381.21j kos istiadat bakar mayat Raja Bhumibol

Bahasa Melayu

Enam suspek serangan bom di Pattani ditahan