Letupan di pasar raya di Pattani, 52 cedera

Letupan di pasar raya di Pattani, 52 cedera

Seramai 30 orang cedera dalam kejadian dua letupan bom di sebuah pasaraya di Muang, Pattani di selatan Pattani kira-kira 2 petang tadi menurut pasukan keselamatan tempatan.
 – Foto Bernama

PATTANI – THAILAND. Jumlah mangsa insiden dua letupan di sebuah pasar raya yang sibuk di Muang, di wilayah Pattani, selatan Thailand kini meningkat kepada 52 orang berbanding 30 sebelum ini, dengan antara mangsanya adalah kanak-kanak, kata pegawai keselamatan di lokasi kejadian.

Insiden pengeboman pada pukul 2.30 petang ini waktu tempatan (3.30 waktu Malaysia) berlaku ketika pasar raya itu dipenuhi orang ramai yang membeli belah.

“Bom pertama meletup di luar tempat letak kereta pada pukul 2.10 petang manakala letupan kedua dipercayai bom yang diletakkan dalam kereta berlaku di pintu masuk pasar raya itu 20 minit kemudian,” kata Ketua Polis Muang, Mejar Kiratik Waeyusof kepada media di sini hari ini.

Dua letupan itu, katanya mengakibatkan keadaan panik dalam kalangan pelanggan dan pekerja pasar raya yang berlari mencari tempat berlindung.

Enam daripada mangsa itu mengalami kecederaan serius dan dibawa ke Hospital Pattani bersama mangsa lain untuk mendapatkan rawatan, kata Kiratik.

Menurut sumber pihak keselamatan, sebuah pikap yang digunakan dalam letupan kedua di pintu masuk pasar raya itu dilaporkan dicuri di Yala sebelum ini dan pihak berkuasa sedang mengesan tuan punya kenderaan tersebut.

Insiden pengeboman hari ini yang terjadi di pasar raya popular dalam kalangan penduduk tempatan adalah rentetan daripada beberapa kejadian keganasan di wilayah bergolak itu sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Terdahulu jurucakap Markas Operasi Keselamatan Dalam Negeri Thailand (ISOC), Kol Pramote Prom-in ketika mengesahkan kejadian itu apabila dihubungi dari Bangkok hari ini, berkata letupan tersebut menyebabkan banyak kecederaan kepada pelanggan dan pekerja pasar raya tersebut.

“Ramai yang cedera tapi tiada yang maut,” katanya sambil menambah pihak berkuasa bergegas ke tempat kejadian dan menutup kawasan itu bagi membantu siasatan.

Ketua Tentera Darat Wilayah 4, Lt Jen Piyawat Nakwanich dan pegawai keselamatan lain turut berada di lokasi kejadian, kata Piyawat.

Setakat ini tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab ke atas insiden letupan terbaru itu.

Jurucakap Kementerian Pertahanan, Mej Jen Kongcheep Tantravanich dalam satu kenyataan berkata Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pertahanan, Jen Prawit Wongsuwon telah mengarahkan pihak berkaitan untuk memberi rawatan kepada mangsa yang cedera.

Beliau juga mahu pihak yang melakukan ‘jenayah kejam’ itu diburu kerana menjadikan orang awam yang tidak bersalah sebagai sasaran.

Sementara itu, wakil Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (Unicef) di Thailand, Thomas Davin dalam satu kenyataan mengecam serangan di kawasan awam di mana kanak-kanak dan keluarga mereka  diketahui ada di sana.

“Tidak ada nyawa kanak-kanak yang harus diletakkan dalam risiko seperti ini. Semua ini tidak boleh diterima,” katanya. – Bernama

 

 

Related Posts

Bahasa Melayu

Lelaki bersenjata samun, letupkan kenderaan

Bahasa Melayu

Bom bi Narathiwat tentera Thai cedera

Bahasa Melayu

Serangan bom di Narathiwat berterusan

Bahasa Melayu

Bom meletup di Pattani 2 pegawai maut dan 4 cedera

Bahasa Melayu

2 Tentera penjajah cedera serangan bom di Narathiwat