Dua belas anggota tentera Thai dan dua orang awam cedera apabila sebutir bom buatan sendiri yang dipasang pada sebuah motosikal meletup di Kampung Lubuk Sama di Sungai Golok, malam semalam.

Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun, cedera parah dalam kejadian yang berlaku pada 7 malam waktu tempatan ketika menaiki motosikal bersama bapanya, yang turut tercedera.

“Bom seberat 25kg itu menyasarkan sebuah trak anggota tentera Task Force Narathiwat yang sedang dalam perjalanan pulang ke markas mereka,” kata Ketua Polis Sungai Golok Kol Prayuth Ponsanti hari ini.

Kanak-kanak terbabit dikenali Phatranan Haji Salamae cedera parah terkena serpihan bom itu, dan kedua-dua beranak itu sedang menerima rawatan di Hospital Narathiwat Rachanakarin.

Kesemua anggota tentera pula menerima rawatan di Hospital Sungai Golok.

– Bernama