Enam anggota keselamatan dan seorang awam cedera dalam kejadian tembakan dan letupan bom pagi ini di wilayah bergolak Narathiwat di selatan Thailand.

Penolong Ketua Bahagian Siasatan Balai Polis Sisakorn Kapten Kitti Jaihai berkata, kejadian pertama berlaku pada 9.40 pagi apabila sebuah kereta pacuan empat roda milik pasukan keselamatan diserang.
“Kenderaan dinaiki empat anggota Renjer ditembak individu tidak dikenali di Jalan Kampung Dahong-Kampung Bilok, Narathiwat menyebabkan kesemua mereka mengalami kecederaan,” katanya kepada pemberita di Narathiwat, hari ini.
Turut tercedera dalam kejadian itu adalah seorang wanita tempatan yang terkena peluru sesat.

Ketua Polis Daerah Sisakorn Kol Suton Suksiwet pula berkata, keempat-empat anggota Renjer itu sedang dalam perjalanan ke pasar berhampiran untuk membeli makanan apabila kenderaan mereka ditembak.

Kesemua mereka dikejarkan ke hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan kecemasan, katanya dan menambah, pasukan keselamatan menemukan 10 butir kelongsong peluru di lokasi kejadian.

Dalam kejadian kedua yang berlaku kira-kira 30 minit selepas kejadian pertama, dua anggota Renjer cedera apabila terkena letupan bom ketika mahu bergegas ke lokasi kejadian pertama untuk menghulurkan bantuan.

Letupan bom itu berlaku tidak jauh daripada lokasi kejadian pertama. Sementara itu, beberapa kejadian serangan khianat dan tembakan senjata api dilaporkan berlaku di beberapa lokasi di selatan Thailand bermula daripada kejadian serangan terhadap sebuah lori mengangkut susu getah di daerah Yaha, wilayah Yala pada 7 malam (waktu tempatan) semalam.Pemandu lori berkenaan mengalami kecederaan parah.

Setengah jam kemudian, sebuah pos kawalan keselamatan di Sungai Padi, Narathiwat telah diserang individu tidak dikenali menggunakan senapang M-16 dan pelancar grenad M-79, tetapi tidak mengakibatkan sebarang kecederaan.

Read more at https://www.malaysiakini.com/news/406677#xwzgqCmyZxCxAs1F.99