PATTANI 10 Jan.- Sembilan anggota Renjer Thailand cedera dengan tiga daripadanya parah selepas kenderaan pacuan empat roda yang mereka naiki terkena letupan bom di daerah Nongchik di sini, hari ini.

 Menurut penolong ketua polis bahagian siasatan Nongchik, Kapt. Akkarat Jiacharen, kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 10.30 pagi waktu tempatan semasa anggota Renjer berkenaan dalam perjalanan ke sebuah sekolah rendah di Ban Saimo.

 “Mereka mahu ke Sekolah Rendah Ban Saimo untuk menyiasat perbuatan membakar Kamera Litar Tertutup (CCTV) di hadapan sekolah itu,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

 Katanya, polis percaya bom buatan sendiri seberat 50kg yang meletup itu telah ditanam di jalan raya dan diaktifkan menggunakan ‘walkie-talkie’.