Tentera Thailand tahan dua suspek serangan bom di Pattani
PIHAK Tentera Thailand menahan dua lelaki dipercayai terlibat dalam kejadian serangan bom di Kampung Saimo, di Pattani semalam yang mencederakan sembilan anggota Renjer, tiga daripadanya parah.

Komander Tentera Bahagian ke-4 Lt Jen Piyawat Nakwanich berkata, kedua-dua suspek terbabit memiliki sembilan waran tangkap yang dikeluarkan oleh Balai Polis Nongchik, Pattani pada 2016.

“Tangkapan dilakukan sejurus selepas serangan bom itu hasil kepungan terhadap Kampung Pakalesong yang terletak berhampiran dengan lokasi kejadian. Suspek bersembunyi di sebuah rumah di kampung berkenaan,” katanya kepada pemberita di Pattani, hari ini.

Beliau berkata di dalam rumah persembunyian mereka itu, pihak tentera menemukan sepucuk pistol 9mm dan bahan-bahan membuat bom.

Dalam kejadian yang berlaku pada 10.30 pagi semalam itu, kesemua anggota Renjer itu berada dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda apabila sebutir bom buatan sendiri dianggar seberat 50kg meletup ketika mereka melalui kampung berkenaan. – Bernama, 11 Januari, 2018.