YALA – Dua orang termasuk seorang anggota sukarelawan keselamatan tempatan cedera apabila sebutir bom meletup berhampiran sebuah sekolah di daerah Yaha, wilayah bergolak Yala di selatan Thailand hari ini.

Menurut Ketua Polis Yaha Kol Thavach Soonthornpoch, sukarelawan keselamatan terbabit dikenali sebagai Thavi Lebaeluwong, 43, cedera parah di bahagian badan dalam kejadian kira-kira 8 pagi (waktu tempatan).

“Dua orang pelajar perempuan sekolah terbabit berusia sembilan dan 10 tahun juga pengsan berikutan bunyi dentuman bom yang kuat itu,” katanya dan menambah, mangsa kedua yang cedera dalam kejadian itu adalah wanita berusia 40 tahun.

Katanya, letupan dipercayai berpunca daripada sebutir bom dianggar seberat antara satu hingga dua kilogram yang diletakkan di sisi tiang elektrik dan diaktifkan menggunakan gelombang radio.

Pihak keselamatan percaya serangan bom hari ini didalangi kumpulan militan diketuai seorang lelaki yang dikenali sebagai “Ahamad Tengat”.

Kejadian letupan bom hari ini menyusuli beberapa insiden keganasan di wilayah Narathiwat dan Pattani semalam yang mengorbankan tiga lelaki, dengan motif kejadian masih disiasat oleh pihak berkuasa selatan Thai. – Bernama